Wednesday, February 10, 2010

istidraj yang seringkali dilupakan

Maka adapun orang yang syukur dengan lisannya dan tiada syukur pada segala anggotanya, maka umpamanya seorang lelaki baginya pakaian diambil pada dua tepinya dan tiada dipakainya pada sekeliannya. Maka tiadalah memberi manfaat akan dia demikian itu daripada panas dan sejuk dan embun dan hujan.
Orang yang bersyukur dengan sekadar melafazkan kata-kata pujian seperti;
"AlhamduliLlah",
"Syukur pada Allah Yang Maha Besar" atau
"Allah sentiasa memberikan dan melimpahkan kebaikan kepadaku"
dengan tidak menghayati kesempurnaan kesyukuran itu iaitu dengan melipatgandakan dan memperbanyakkan amal ibadat di samping melaksanakan amal kebaikan sesama manusia adalah seumpama seorang yang "kurang sempurna akalnya". Dikatakan kurang sempurna akalnya kerana beliau diberikan milik sepasang pakaian, tetapi tidak memakai untuk menutup kesemua tubuhnya. Buat apa memliki sepasang kain yang cantik, sedangkan tubuh bertelanjang????. Tidaklah jauh bezanya dengan...... mereka yang hanya sekadar memuji-muji Allah dengan lisan sedangkan anggota badan masih liat menambahkan amal-ibadat dan mereka yang asyik menghitung-hitung banyaknya harta atau ilmu yang dimiliki sedangkan masih kedekut untuk dikongsi bersama dengan makhluk Allah yang lain. Dengan demikian, bagi mereka yang sempurna akalnya ialah menjelmakan penghayatan syukur yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki. Perihal ini boleh difahami dari......
Dan berhimpun segala ibarat daripada syukur itu dengan katanya..........
Bermula syukur itu mengetahui dengan hati dan menyebut-nyebut dengan lisan dan mengerjakan dengan segala anggota.
Tegasnya komponen syukur yang mesti dilengkapi oleh seorang hamba yang ingin menghayati hakikat kesempurnaan syukur sebagaimana semestinya ialah;
Mengetahui dengan hati yakni menyedari dan memahami bahawa ianya semata-mata limpah kurnia dari Allah Taala bukan di atas sesuatu kerana atas sebab-musabab yang bersangkutan dengan dirinya, jauh sekali amal-ibadatnya.
Menyebut-nyebut dengan lisan dengan puji, tasbih, tahmid, istigfar, zikir di samping mengulang-ulang sebutan/menyebarkan kebaikan Allah Taala ke atas dirinya dan makhluk lainnya. Melaksanakan segala suruh Allah semampu mungkin di samping menjauhkan segala laranganNya. Selebihnya, jika seorang hamba berhajat untuk mengetahui cara-cara atau jalan-jalan untuk mengikat sesuatu nikmat dari Allah.
Dan apabila engkau berkehendak akan barang yang menanggung ia atas syukur
Takut olehmu daripada sentiasa ihsannya Allah kepadamu dan daripada sentiasa kejahatanmu sertaNya. Bahawa yang demikian itu mengeluarkan bagimu seperti firman Allah Taala; "Lagi akan Kami lorongkan mereka itu daripada sekira-kira tiada mengetahui mereka itu pada yang demikian itu"
Seorang hamba yang mukmin adalah seorang hamba yang sentiasa dibayangi oleh rasa takut dan gerun dengan kekuasaan Allah. Rasa ketakutan terhadap Allah adalah merupakan pakaian dan perhiasan seorang hamba yang bertakwa sebagaimana yang seringkali diulang-ulangkan dalam Kitab Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Dan rasa ketakutan ini hendaklah ditingkatkan lebih-lebih lagi apabila kita sentiasa dilmpahkan dengan ihsan kebaikan dari Allah Taala dengan pelbagai nikmat yang zhohir dan yang batin, sedangkan pada waktu yang sama kita sentiasa berada dalam keadaan lalai, dan banyak melakukan dosa dan maksiat.

Hairan juga, bagaimana kita sering melakukan maksiat zhohir dan batin sedangkan Allah apa sahaja yang dihajati sering sahaja diperolehi? Malah kadang-kadang, minta sedikit tetapi banyak yang didapati hatta bertimpa-timpa nikmat yang tidak disangka-sangka. Tentu sekali, bagi yang halus fikiran dan tajam pandangannya ada sesuatu yang tidak kena di sini. Namun demikian, bagi mereka yang tidak sedar, mereka merasakan bahawa; Ini adalah anugerah Allah yang Maha Pemurah untukku sedangkan ia berterusan melakukan dosa dan maksiat. Mungkin apa yang telah aku lakukan ini memadai dan betul dan Allah meredoinya, kerana jika tidak, tentu sekali akan disekat pemberianNya. Telah cukup baik pun diriku kerana jika tidak tentu sekali telah lama Allah akan timpakan bala ke atasku kiranya aku bersalah padanya.

Inilah antara wajah-wajah kejahilan kebanyakan manusia berdosa dalam menerima nikmat Allah. Mereka merasa selesa dan seronok dengan kebaikan Allah dalam maksiat yang dikerjakan sedangkan mereka lupa, mungkin mereka dilorongkan ke arah jalan kekufuran nikmat dan Istidraj. Apa itu Istidraj? dan bagaimana rupa wajah-wajah Istidraj ini?.
Perkara inilah yang boleh kita fahami dan yang menjadi intipati perbincangan dan huraian selanjutnya.
Bermula takut daripada Istidraj pada segala nikmat itu daripada sifat mukmin; dan ketiadaan takut daripadanya serta sentiasa atas kejahatan itu daripada sifat Munafik; dan dikata orang daripada alamat Istidraj itu mengendarai kejahatan dan ghurur padanya. Maka suka yang didatangkan itu, maka diambil mereka itu terkejut, maka tiba-tiba mereka itu putus daripada Rahmat(Allah). Maka barangsiapa menyenangkan ia dengan ihsan(Allah) kepadanya pada halnya ia kejahatan, maka iaitu Istidraj.

Permulaan yang perlu dingatkan dari keterangan di atas ialah; Rasa takut dan bimbang daripada Istidraj pada segala nikmat yang mendatangi diri itu adalah daripada sifat-sifat seorang hamba yang mukmin. Rasa takut dalam menerima nikmat ini adalah berasaskan kebimbangan dan takut-takut ianya sebagai satu tipu-daya atau bala musibah yang tersembunyi.
Seorang yang tidak rasa gentar dan takut pada kedatangan Istidraj dalam menerima nikmat sedangkan dirinya sentiasa atas jalan dosa maksiat dan kejahatan adalah perihal sifat-sifat orang yang munafik. Inilah hal yang membezakan seorang hamba yang munafik dan hamba mukmin dalam menerima sesuatu limpah kurnia dari Allah Taala. Untuk mengenali sama ada sesuatu pemberian nikmat itu Istidraj atau tidak, maka kunci utamanya ialah meneliti dan menilai keadaan diri kita. Jika diri sentiasa dalam keadaan melakukan kejahatan dan maksiat, sedangkan nikmat datang bertimpa-timpa, maka itulah Istidraj.
Keselesaan hidup dengan harta benda dan pangkat kedudukan sedangkan diri berada di atas jalan kejahatan, maka awaslah...kerana itulah Istidraj. Kesampaian hajat dan cita-cita tanpa banyak berusaha sedangkan diri bergelumbang dengan dosa, maka waspadalah.....kerana itulah bala Istidraj. Awaslah dan waspadalah kerana di sebalik segala limpahan nikmat itu terselindung ghurur atau tipu daya yang boleh menghumbankan seseorang pada lembah kemusnahan dengan tiba-tiba. Ya... secara terkejut dan tiba-tiba saja, segala kesenangan dan nikmat itu akan disentak yang menjadikan mereka itu putus daripada Rahmat(Allah). Maka barangsiapa menyenangkan ia dengan ihsan(yakni kebaikan Allah) kepadanya pada halnya ia(bergelumbang dengan) kejahatan, maka iaitu Istidraj.

Dan kata Sahl bin Abdullah r.a. dalam makna ayat itu;
Kami kurniai mereka itu dengan segala nikmat dan Kami lalaikan mereka itu akan segala syukur atas nikmat; iaitu maka apabila cenderung mereka itu kepada nikmat dan di dinding mereka itu daripada yang memberi nikmat, maka [mati terkejut] diambil mereka itu. Untuk memperkembangkan lagi idea dan kefahaman berkenaan Istidraj ini, selanjutnya didatangkan keterangan tokoh-tokoh ulama sufi yang terkenal. Dari kata-kata Sahl bin Abdullah r.a. di atas dapat kita fahami bahawa beliau mentafsirkan ayat; "Lagi akan Kami lorongkan mereka itu daripada sekira-kira tiada mengetahui mereka itu pada yang demikian itu" dengan maksud apabila seseorang itu kufur pada sesuatu nikmat pemberian Allah yakni dengan tidak merasai dan melihat kepada Allah yang memberi nikmat, maka itulah Istidraj yang akan melalaikan mereka dengan nikmat-nikmat tersebut sehingga segala-galanya akan disentak(ditarik) dengan tiba-tiba tanpa sempat bertaubat dan menyedarinya.
Dan kata Abu Abbas Ibnu Athoillah;
Manakala mendatangkan mereka itu akan kesalahan, maka kami datangkan bagi mereka itu akan nikmat dan kami lupakan mereka itu Istigfar daripada segala kesalahan.
Keterangan di atas lebih kurang sama dengan yang sebelumnya di mana, orang-orang yang sentiasa ligat dengan melakukan dosa dan maksiat akan dilimpahkan kepada mereka dengan pelbagai nikmat kesenangan duniawi sehingga melalaikan mereka daripada meminta ampun dan bertaubat dengan dosa dan maksiat itu. Inilah Istidraj.
Dengan kata lain bolehlah kita katakan apabila sudah berada dalam keselesaan dan kesenangan hidup yang mewah tanpa banyak halangan, maka biasanya ramai yang akan lupa diri dan berterima kasih kepada Allah, malahan menggunakan nikmat-nikmat tersebut untuk berbuat dosa dan menderhakai Allah. Jauh sekalilah orang yang sebegini akan teringat untuk beristigfar dan bertaubat kepada Allah.
Dan kata Abu Qasim al-Qusyairi r.a.;
Bermula Istidraj itu berturut-turut nikmat dengan tiada takut fitnah.
Dan tersebut dalam hadis; Telah menceritakan akan dia Ahmad dan lainnya daripada 'Uthbah bin 'Amir r.a.; Bahawasanya apabila engkau lihat akan Allah mengurniai akan hambaNya daripada dunia barang yang dikasihnya pada halnya ia mendirikan atas segala maksiatnya, maka yang demikian itu Istidraj daripadaNya.
Dari keterangan hadis di atas, maka bolehlah kitakan; Apabila Allah mengurniakan seorang hamba itu kekayaan dan kemewahan dengan cara yang haram dan terkutuk, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala. Apabila seorang yang dikurniakan pangkat dan kedudukan dengan cara menipu dan menindas orang lain, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala. Apabila seorang hamba diberikan kebolehan dan kekeramatan yang luar biasa dengan cara mengamalkan zikir dan wirid-wirid yang tiada Warid(tidak diambil) dari Rasulullah SAW, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala. Demikian jugalah tidak jauh bezanya dengan; Hamba yang menggunakan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki dengan jalan yang tidak diluluskan oleh syarak, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala.

Ahli-ahli politik yang menggunakan kekuasaan dan kedudukannya untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan syariat Islam, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala. Hamba yang diberikan keistimewaan luar biasa yang mencarik adat, tetapi digunakan untuk mencari pengaruh dan membanggakan kehebatan diri, maka yang demikian itu adalah Istidraj dari Allah Taala.
Setengah daripada jahil murid akan dirinya dan akan Haq TuhanNya, bahawa dijahatkan akan adab. Maka diakhirkan balasan daripadanya. Maka berkata ia(murid); Jikalau ada kerjaku ini jahat adab, nescaya diputuskan Allah akan tolongNya dan diwajibkan jauhNya. Dan ini satu bahagi daripada Istidraj yang telah terdahulu sebutnya; dan jahat adab murid itu mewajibkan bagi balasan, tetapi segala balasan itu bersalah-salahan.

Allah telah mentadbir dan menentukan bahawa yang menjadi khalifah di bumi ini adalah dari jenis manusia. Allah telah memberi kebebasan kepada manusia yang berbagai-bagai kaum dan bangsa untuk mentadbir dunia ini mengikut gilirannya.
Dari dulu sampai sekarang bangsa-bangsa yang telah mentadbir dunia adalah seperti bangsa Rom dan Parsi (sebelum Rasulullah), bangsa Arab (semasa dan selepas Rasulullah), bangsa Sepanyol, yang tinggal sekarang hanya bangsa Amerika dan British yang masih mengusai sistem demokrasi. Bangsa yang belum sampai gilirannya hanya bangsa Melayu. Bangsa itu mentadbir dan mengimarahkan, membangun dan memajukan muka bumi ini dunia. Segala-galanya yang hendak ditadbir dan diurus ikut syariatNya. Itulah yang diperintahkan oleh-Nya melalui rasulNya. {Rasul-rasul itu tidak menakluk, yang menakluk adalah orang-orang yang dididik oleh Rasul. Selepas Rasul wafat baru pengikut-pengikut menakluk. Contoh, selepas kewafatan Rasulullah SAW sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab Islam telah berjaya menakluki dua pertiga dunia.} Syariat terakhir di bawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun siapa yang mengingkari, melanggar perintahNya walaupun ia berjuang di dunia tetapi di Akhirat pasti dihukum mengikut apa yang dia lakukan di dunia. Maka setiap kaum dan bangsa berlumba-lumba membangunkan kemajuan di dunia supaya dengan itu terbentuk satu tamadun. Mereka derhaka kepada Allah di dalam membangunkan tamadun dunia.{ Tamadun lahir tidak ada nilai di sisi Allah tetapi apa yang Allah nilai adalah tamadun rohaniah}.
Kebanyakan mereka membangun dan berkemajuan tetapi jarang mengikut syariat. Bukan kejayaan lahir yang diukur tetapi kejayaan yang diukur adalah kejayaan membangunkan insan.
Dalam sejarah Islam cuma ada 8 pemerintahan yang betul-betul baik sahaja di mana mereka betul-betul membangunkan tamadun insan. Pemerintahan tersebut adalah bermula dari Rasulullah SAW diikuti dengan pemerintahan 4 khulafa ArRasyidin (Khalifah Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali), Khalifah Umar Abd Aziz, Solehudin Ay Ayubi dan Muhammad Al Fateh.
Contoh bagaimana mereka membangunkan tamadun insan/rohani dan betapa tingginya tamadun insan yang ada pada mereka adalah seperti Solehuddin Al Ayubi yang memeriksa khemah tenteranya yang hendak berperang adakah mereka sembahyang malam atau tidak. Begitu juga dengan Khalifah Bani Otmaniah Muhammad Al Fateh yang dilantik dari sebaik-baik pemimpin pada masa itu di mana sejak balighnya lagi tidak pernah tinggal sembahyang tahajud. Begitu juga dengan Khalifah Umar Abd Aziz yang tidak pernah sedikit pun menggunakan harta negara untuk kepentingan diri dan keluarganya.
Kemenangan dan kejayaan bagaimana sepatutnya kita lakukan dan lalui di samping berjaya mendapat ganjaran dari Allah dan di Akhirat. Perlu diingat sebab-sebab sesuatu kaum dan bangsa itu mendapat kemajuan.
o Ada sebab yang lahir
o Ada sebab yang batin
o Ada sebab yang tersurat
o Ada sebab yang tersirat
o Ada sebab yang dapat dilihat
o Ada sebab yang tidak dapat dilihat
o Ada sebab yang logik
o Ada sebab yang tidak logik
Contoh mudah : menuntut ilmu ' yang tersurat; dipayungi oleh malaikat ' yang tersirat.
Di sini akan dihuraikan bagaimana jalan yang mereka (manusia di dunia ini) tempuh bagi mencapai kemenangan dan kejayaan di dunia. Umat Islam mencapai kemajuan dan kemenangan tidak semestinya bergantung kepada sebab-sebab lahir tetapi dengan memerhatikan kepada semua sebab-sebab yang batin. Umat Islam tidak bersandar kepada sebab-sebab yang lahir tetapi juga bersandar kepada sebab-sebab yang tersirat batin. { Contoh dalam peperangan Yarmouk umat Islam kalah walaupun ramai}. Untuk melihat makna yang tersirat di dalam kemenangan dan kemajuan itu ada empat.
1. Melalui sifat taqwa (tersirat) ' Segala usaha perjuangan yang dilakukan sama ada di medan perang, berusaha untuk kemajuan ekonomi, dalam hendak membangun bermacam-macam urusan di bidang pendidikan, di bidang dakwah, di bidang kebudayaan dan lain-lain biarlah di atas dasar takwa. Perjuangan dan usaha itu diambil kira tentang syariat Allah.
Di dalam berusaha membaiki diri di dalam berjuang itu :-
a. Rasa kehambaan diutamakan. Rasa diri lemah, mengharap, hina, berdoasa dan sebagainya.
b. Pertajamkan rasa bertuhan. Rasa Allah itu maha berkuasa, pengasih dan penyayang, maha gagah, maha melihat dan sebagainya. Yang tersurat itu lebih banyak kepada rasa bertuhan manakala yang lahir itu lebih banyak kepada bergantung kepada benda-benda lahir. Sebab itu penting rasa yang tersirat ini kerana ia membawa Tuhan ke mana-mana. Di dalam berusaha rasa kehambaan makin dirasakan.
c. Tidak lekang pergantungan kepada Allah.
Cara inilah Allah SWT beri kemenangan dan kejayaan kepada umat Islam. Kemenangan dan kejayaan itu mengikut tahap-tahapnya. Kalau perjuangan itu besar, besar pulalah kejayaannnya. Kalau perjuangan itu kecil, kecil pulalah kejayaannya. Itulah yang dimaksudkan dengan ayat Al Quran yang maksudnya:-
i) " Allah menjadi pembela kepada orang yang bertakwa"
ii) "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah beri rezeki dari sumber yang dia tidak tahu "
iii) "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan ajar kepada kamu apa yang kamu tidak ketahui"
Sabda Rasulullah SAW : " Barang siapa yang mengerjakan apa yang dia tahu nescaya Allah akan ajar apa yang dia tidak tahu"
Guru Imam Syafie, Wakiq berkata : " Kalau hendak mudah menghafal hendaklah tinggalkan maksiat".
2. Kemenangan dan kemajuan yang diberi atas dasar barakah (dari amalan orang lain atau amalan yang dipandang besar oleh Allah). Kepada orang fasiq dan kafir pun diberi Allah Taala seperti kepada orang yang taat kepada ibu bapa terutama ibu bapa yang soleh, seorang yang berkhidmat kepada gurunya lebih-lebih lagi guru yang soleh atau orang yang membantu perjuangan yang hak yang diperjuangkan oleh orang yang soleh, orang yang berkhidmat dengan sekolah anak-anak yatim, orang yang berkhidmat dengan fakir miskin, bertawasul dengan orang-orang soleh, orang yang menghormati orang soleh. Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis :- " ..dengan sebab itulah mereka diberi kemenangan" .
3. Diberikan kemenangan dan pertolongan atas dasar istidraj. Kemenangan atau pertolongan Allah secara ini Allah lakukan kerana Dia terlalu murka pada sesuatu bangsa atau sesuatu kaum kerana mereka terlalu zalim. Kerana Allah hendak tipu dengan memberi kemenangan pada mereka. Mereka makin tidak sedar sehingga mereka terus lakukan kerosakan dan kezaliman dan kedurhakaan sehingga mati binasa dengan kejahatannya. Akhirnya mereka dijerumuskan ke dalam Neraka di Akhirat.
4. Kemenangan dan kejayaan atas dasar quwwah (kekuatan lahir). Kerana dia punya kekuatan lahir seperti ilmu yang banyak, kekuatan tubuh badan, kekuatan tenaga manusia, kekuatan alat kelengkapan yang canggih, pandai mengatur strategi, berdisiplin, rajin, kesungguhan bekerja dan berjihad serta berani, tahan berdepan dengan cabaran. Kemenangan ini adalah kemenangan lumrah yang berlaku pada sesiapa sahaja, kaum atau bangsa. Kemenangan dan kejayaan ini adalah anugerah Allah pada bangsa apa sahaja. Bila jadi juga kemenangan ini namanya istidraj juga. Allah beri dengan benci kerana mereka sudah percaya usaha dan kemampuan sendiri memberi bekas ' seperti iktiqad golongan Qadariah. Dan inilah yang dimaksud oleh hukamak : " kebenaran yang tidak punyai disiplin akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang punyai disiplin".
Begitulah secara ringkasnya penjelasan mengenai sebab-sebab kemenangan dan kejayaan yang berlaku kepada sesuatu kaum atau bangsa. Kemenangan yang berlaku pada mereka ……. ., cara pertama itulah mendapat keredhaan Allah. Mereka dapat kejayaan dunia dan Akhirat. Mereka dapat kejayaan dan kemenangan dari Allah. Kejayaan ini adalah selamat dan menyelamatkan. Ianya jarang berlaku, walaupun berlaku sekali sekala dalam sejarah di dunia. Kemudian kejayaan dan kemenangan yang kecil-kecil sahaja berlaku. Hasil dari kemenangan dan kejayaan melalui sifat taqwa ini:-
Syariat Islam dapat dibangunkan. Pemimpin dan pendokong-pendokongnya rendah diri dan tawadhuk ( kemenangan dan kejayaan yang diperolehi mereka anggap adalah anugerah Allah bukan dari usaha ikhtiar dan kekuatan lahir mereka semata-mata. Kemakmuran yang diperolehi dapat dimanfaatkan oleh manusia sama ada miskin atau kaya. Menzalim dan menindas tidak wujud. Kesyumulan itu terserlah di mana-mana dengan dapat dilihat mereka membesarkan Allah SWT di mana-mana. Allah dibesarkan melalui ibadah dan lain-lain. Kekayaan itu digunakan untuk fisabilillah dan berkhidmat pada manusia. Berkat dan rahmat dari Allah terserlah dan dapat dilihat di mana-mana. Kasih sayang, ukhuwah, lemah lembut, mengutamakan orang lain dari diri sendiri, bertolong bantu, mendahului kepentingan orang lain, bersimpati dan berakhlak tinggi. Ahli masyarakat aman damai dan harmoni, ketakutan dan kebimbangan tidak wujud lagi, negara aman damai.

Perlu diketahui dan diingati kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa melalui quwwah pula di mana :-
Pemimpin dan pejuang-pejuangnya sombong terhadap manusia. Mereka membuat kejahatan dan penindasan terhadap manusia terutamanya kepada musuh-musuhnya. Kesenangan dan kemewahan untuk orang-orang tertentu. Syariat ditentang dan diabaikan. Pejuang-pejuang dimusuhi dan ditentang bahkan disusah-susahkan. Orang miskin terbiar. Golongan senang dan kaya akan melakukan pembaziran sesuka hati. Curiga mencurigai dan ampu mengampu berlaku. Diskriminasi terjadi dan akhirnya manusia lalai dan cuai dengan Allah. Perlanggaran hukum Allah dilakukan manusia. Hidup nafsi-nafsi, masing-masing bawa diri dan jaga diri. Perpecahan menjadi-jadi. Pergaduhan dan pembunuhan menjadi budaya hidup. Akhirnya rakyat hidup di dalam ketakutan. Masyarakat kacau bilau dan huru-hara di mana-mana. Akhirnya kemajuan dan kejayaan yang diperolehi tiada erti apa-apa. Inilah yang berlaku diseluruh dunia hari ini tidak ketinggalan dengan negara kita Malaysia.
Hikmah kejayaan dan kemenangan yang diperolehi secara istidraj adalah untuk menghukum orang yang dalam perjuangkan kebenaran tetapi lalai dengan Allah, lupa Allah, ringankan syariat, lupa hari Akhirat agar mereka kembali kepada kebenaran dan rujuk semula kepada Allah. Itulah hukuman yang sedang berlaku kepada seluruh umat Islam di dunia ini kerana kelalaiannya.

No comments:

Post a Comment