Jangan Menipu Allah dengan Bertudung
Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yang bertudung. Ketika
itu wanita bertudung terpaksa menghadapi cabaran yang besar kerana
sering menjadi bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem,
sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang mengatakan itu
fesyen ala Arab padang pasir. Kita tidak pelik hal begini boleh
terjadi. Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat
sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap
syariat menutup aurat. Berkat kesabaran wanita-wanita yang bertudung
diwaktu itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham bahawa
memakai tudung itu adalah untuk memenuhi tuntutan syariat.
Seperkara yang menarik di waktu itu, apabila seseorang wanita itu
bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan
wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum
memakai tudung. Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki,
tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan,
bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak
menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan,
tidak suka berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung untuk
mendalami ilmu-ilmu Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur
katanya menjadi semakin lembut dan lunak. Suka menolong orang, bibir
sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia
membantu kesusahan orang lain, sudah benci kepada kemewahan dunia,
tahan diuji dan sentiasa mencari-cari peluang untuk mengajak
masyarakat wanita yang lainnya agar sama-sama menutup aurat.
Lantaran berbezanya mereka dengan wanita yang lain, maka orang
pandang tinggi kepada wanita yang bertudung, walaupun masih ramai
yang tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup
bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu-
ilmu agama. Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al-Quran
dan hadith mengenai hal penutupan aurat. Ini disebabkan mereka sering
dihujani dengan berbagai pertanyaan mengenai apa yang mereka buat.
Untuk menjawapnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai
dengan nas Al-Quran dan hadith untuk menyakinkan orang ramai. Oleh
sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka.
Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana-mana
sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di
kilang-kilang, di sekolah, di stesyen bas, di pejabat, di universiti
malah di parlimen dan beberapa pengacara televisyen pun sudah memakai
tudung. Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak
akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan,
berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau
dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat
make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung
berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.
Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan
fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut
syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan
hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih
buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.
Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita
bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung
sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan.
Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke
panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan
dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan
untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat. Malah
pada hari ini, ada pula berita yang kita dengar, bohsia pun sudah
pakai tudung untuk mengelirukan pandangan masyarakat. Bila direnung-
renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita
yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan
pemakaian tudung.
Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut
dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman
pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu
kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka
mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa
menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai
tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak
berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya
mestilah bertudung. Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain
memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya,
tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung.
Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau
suami, didisiplinkan oleh pihak sekolah atau universiti. Ada yang
mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.
Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah
menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu.
Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di
taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah
sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung
diperingkat awal dahulu.
Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin
serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang
hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun
nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.
Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup
aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia
mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah
menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenat dan apa yang ada
di dalam hati mereka akan diselongkar dan di dedahkan oleh Allah di
padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia. Rasulullah s.a.w
pernah ditanya oleh seorang sahabat :
"Ya Rasulullah! Dengan apakah mencapai keselamatan kelak?" Jawab Nabi
s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi: "Bagaimana
menipu Allah?" Jawab baginda : "Iaitu mengerjakan apa yang
diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."
Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan
ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan
tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki
memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat
menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher,
bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa
kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki
jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat,
tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan endapat pahala
dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa. Bahaya besar kalau beramal
bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran
zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerena pengaruh sekeliling,
hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana
begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompk masyarakat, dia sudah
tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di
sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya.
Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu
mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya.
Justeru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh
ibadah. Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah
diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti
bina keyakinan di dalam diri kita dan mempunyai kefahaman yang
mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul
di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment